TEMERLOH, 10 Jun 2026
MESYUARAT PROJEK WAKAF TELAGA KAMPUNG PAYA MENGKUANG BIL. 2/2026 TUMPU ISU BEKALAN AIR KOMUNITI ORANG ASLI
TEMERLOH, 10 Jun 2026 (Rabu) – Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh telah mengadakan Mesyuarat Projek Wakaf Telaga Kampung Paya Mengkuang Bilangan 2/2026 pada jam 9.00 pagi bertempat di Bilik Gerakan Daerah, Tingkat 1, Blok A, Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YH. Dato' Khairur Rizal bin Ramli, Pegawai Daerah Temerloh, bagi membincangkan perkembangan semasa serta tindakan susulan berkaitan pelaksanaan Projek Wakaf Telaga Kampung Orang Asli Paya Mengkuang.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah isu bekalan air di Kampung Orang Asli Paya Mengkuang susulan lawatan ke tapak projek yang telah diadakan sebelum ini. Perbincangan memberi tumpuan kepada masalah gangguan dan kekurangan bekalan air yang dihadapi penduduk, keadaan sumber air sedia ada, keperluan menaik taraf kemudahan bekalan air, serta penyelarasan tindakan antara agensi dan pihak berkaitan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek wakaf telaga sebagai penyelesaian jangka panjang kepada komuniti terlibat.
Mesyuarat ini turut meneliti aspek teknikal pelaksanaan, serta cadangan langkah susulan bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat berterusan kepada penduduk kampung.
YH. Dato' Khairur Rizal dalam mesyuarat tersebut menekankan kepentingan kerjasama dan komitmen semua pihak dalam menjayakan projek berkenaan demi kesejahteraan masyarakat Kampung Orang Asli Paya Mengkuang serta kawasan sekitarnya.
Pelaksanaan projek wakaf telaga ini diharap dapat menyediakan kemudahan bekalan air yang lebih stabil dan mampan kepada penduduk, selain menjadi salah satu inisiatif pembangunan komuniti yang memberi impak positif kepada kehidupan masyarakat luar bandar.

