PDT MARAN PERKUKUH TADBIR URUS MELALUI TAKLIMAT SISTEM PENGURUSAN INTEGRITI DAN GOVERNANS

MARAN, 8 Julai
PDT MARAN PERKUKUH TADBIR URUS MELALUI TAKLIMAT SISTEM PENGURUSAN INTEGRITI DAN GOVERNANS
MARAN, 8 Julai – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Maran terus memperkukuh amalan integriti dan tadbir urus apabila menganjurkan Taklimat Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) yang berlangsung di pejabat itu hari ini.
Taklimat yang bermula pada pukul 9 pagi itu dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Maran, Che Wan Muhammed Salleh bin Wan Adnan, serta dihadiri pegawai kanan PDT Maran dan pegawai yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE).
Sesi taklimat disampaikan oleh Ketua Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang, Puan Nordiana binti Ismail, bersama Penolong Pegawai Tadbir, Seksyen Pengukuhan Tadbir Urus dan Pematuhan, Pejabat SUK Pahang, Encik Mohamad Suhaimi bin Abdul Wahab.
Sepanjang sesi tersebut, peserta diberikan penerangan terperinci mengenai tatacara penggunaan Sistem SPINE, termasuk kaedah menjawab setiap kriteria penilaian dengan tepat serta penyediaan dokumen sokongan sebagai bukti pematuhan terhadap keperluan sistem.
Penceramah turut menekankan kepentingan memastikan setiap maklumat yang dikemukakan disokong dengan dokumen pembuktian yang lengkap, tepat dan menepati garis panduan bagi menjamin ketelusan serta kredibiliti penilaian.
Selain itu, sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan berhubung pelaksanaan sistem, penyediaan eviden dan kaedah terbaik bagi memenuhi setiap indikator yang ditetapkan dalam SPINE.
Pegawai Daerah Maran, Che Wan Muhammed Salleh bin Wan Adnan berkata, taklimat tersebut merupakan antara inisiatif penting dalam memastikan warga PDT Maran memahami keperluan sistem serta bersedia menghadapi proses penilaian dengan lebih sistematik.
"Pelaksanaan SPINE bukan sekadar memenuhi keperluan penilaian, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pembudayaan integriti, pematuhan dan tadbir urus yang baik dalam organisasi. Ia mampu meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap penyampaian perkhidmatan awam," katanya.
Beliau berharap semua pegawai yang terlibat dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh bagi memastikan pelaksanaan SPINE di PDT Maran berjalan lancar dan memenuhi standard yang ditetapkan, sekali gus memperkukuhkan budaya kerja berintegriti, telus dan berakauntabiliti dalam organisasi.

