11 WARGA PDT MARAN TERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG
11 WARGA PDT MARAN TERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG
MARAN, 1 Julai – Seramai 11 pegawai dan kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Maran menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Titipan Memori Seikhlas Budi 2026 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Majlis yang bermula pada pukul 9 pagi itu telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Maran, Che Wan Muhammed Salleh bin Wan Adnan, yang turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga jabatan atas komitmen dan dedikasi dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.
Dalam ucapannya, beliau berkata, pengiktirafan yang diberikan bukan sekadar menghargai pencapaian individu, malah menjadi pemangkin kepada seluruh warga kerja untuk terus mengekalkan budaya kerja cemerlang, berintegriti dan berprestasi tinggi.
"Setiap kejayaan yang dicapai oleh jabatan adalah hasil usaha berpasukan. Justeru, saya berharap semua warga PDT Maran akan terus meningkatkan profesionalisme dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.
Majlis turut diraikan dengan Titipan Memori Seikhlas Budi 2026 bagi menghargai jasa dan pengorbanan pegawai yang menamatkan perkhidmatan. Cenderahati khas disampaikan kepada pesara sebagai tanda penghormatan atas sumbangan mereka sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Selain APC, beberapa anugerah khas turut disampaikan bagi mengiktiraf kecemerlangan warga jabatan, antaranya Sijil Anugerah Khas Komitmen Kehadiran Tahunan bagi tempoh 2023 hingga 2025, Sijil Anugerah Khas Dedikasi Perkhidmatan 25 Tahun, Sijil Anugerah Khas Kecemerlangan Pencapaian Tahunan 2025 bagi pencapaian keseluruhan MyPerformance 100 peratus, serta Sijil Anugerah Khas Kecemerlangan Pencapaian Tahunan 2025 bagi Sasaran Kerja Utama (SKU) 100 peratus.
Kemuncak majlis menyaksikan 11 pegawai dan kakitangan PDT Maran menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi kerja, komitmen serta sumbangan cemerlang mereka dalam meningkatkan kualiti pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan jabatan.
Majlis berkenaan mencerminkan komitmen PDT Maran dalam membudayakan kecemerlangan, menghargai jasa warga kerja serta memperkukuh semangat kebersamaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus berada pada tahap terbaik.


