JERANTUT, 18 Jun 2026 – Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut telah menganjurkan Majlis Apresiasi dan Jasamu Dikenang 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Utama, Majlis Daerah Jerantut, bagi menghargai sumbangan serta dedikasi warga kerja dalam memacu kecemerlangan organisasi.
Majlis yang bertemakan “Brown & White” itu telah dihadiri oleh Pegawai Daerah Jerantut, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Penolong-Penolong Pegawai Daerah serta seluruh kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut.
Pada majlis berkenaan, seramai 13 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 telah menerima pengiktirafan atas komitmen dan prestasi cemerlang yang ditunjukkan sepanjang tahun perkhidmatan. Selain itu, lima orang kakitangan turut menerima Anugerah Khas Berprestasi Tinggi sebagai penghargaan terhadap pencapaian luar biasa dalam bidang tugas masing-masing.
Majlis turut menyaksikan sesi penghargaan khas kepada tiga orang pegawai yang bersara serta empat orang pegawai yang bertukar, sebagai tanda terima kasih atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat di Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut.
Bagi menambahkan kemeriahan suasana, sambutan hari lahir bagi kakitangan yang lahir pada bulan Januari hingga Jun turut diadakan. Selain itu, anugerah King of The Night dan Queen of The Night turut diberikan kepada kakitangan yang tampil bergaya dan menepati tema majlis.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja menjadi platform menghargai kecemerlangan dan jasa warga kerja, malah mengeratkan hubungan silaturahim serta menyuntik semangat kepada seluruh kakitangan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negeri.
Jasamu Dikenang, Kecemerlangan Dihargai, Kebersamaan Diperkukuh.