KUNJUNG HORMAT DAN TAKLIMAT PENGURUSAN PASIR PAHANG BERHAD BAGI DAERAH TEMERLOH
KUNJUNG HORMAT DAN TAKLIMAT PENGURUSAN PASIR PAHANG BERHAD BAGI DAERAH TEMERLOH
TEMERLOH, 8 Jun 2026 (Isnin) – Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato' Khairur Rizal bin Ramli telah berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Pengurusan Pasir Pahang Berhad (PPPB) pada jam 9.00 pagi di Bilik Gerakan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh.
Kunjung Hormat daripada PPPB yang diketuai oleh Pengurus Operasi PPPB, Encik Mohd Azizul Bin Marzuki merupakan satu platform untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara Pengurusan Pasir Pahang Berhad dan pentadbiran daerah, di samping membincangkan perkara-perkara berkaitan pengurusan sumber pasir di Daerah Temerloh.
Dalam sesi taklimat yang berlangsung, pihak Pengurusan Pasir Pahang Berhad telah membentangkan pengurusan dan operasi perlombongan pasir bagi Daerah Temerloh, termasuk aspek kawal selia, pemantauan aktiviti pengambilan pasir serta usaha-usaha yang dilaksanakan bagi memastikan pengurusan sumber semula jadi tersebut berjalan secara teratur, mampan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Perbincangan turut memberi penekanan kepada kepentingan kerjasama strategik antara agensi dalam memastikan aktiviti berkaitan pengurusan pasir dapat dilaksanakan dengan berkesan, di samping mengambil kira aspek pemeliharaan alam sekitar dan kepentingan masyarakat setempat.
Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memperkukuhkan tadbir urus sumber asli negeri serta memastikan pengurusan pasir di Daerah Temerloh dilaksanakan secara sistematik, berintegriti dan memberi manfaat kepada pembangunan daerah.


