JERANTUT, 26 Jun 2026 – Seramai 224 penerima telah menerima Suratan Hakmilik Skim Tanah Rakyat Generasi Baharu Felda (STRGBF) bagi Felda Kota Gelanggi 01, 02 dan 04, Mukim Pulau Tawar, Daerah Jerantut dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Utama, Majlis Daerah Jerantut.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, sebagai simbol komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara melalui pemilikan tanah yang sah.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dato' Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, Dato' Sri Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Dato' Amizar bin Abu Adam, Ybrs. Tuan Sulaiman bin Husin, Pegawai Daerah Jerantut serta YB Tuan Haris Salleh bin Hamzah.
Penyerahan suratan hakmilik ini merupakan satu usaha berterusan Kerajaan Negeri bagi memberikan jaminan pemilikan tanah kepada generasi baharu Felda, sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup masyarakat. Majlis ini turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan hak rakyat terus terpelihara serta menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi yang lebih mampan di daerah Jerantut.